Thursday 7 August 2014

Kematian 1 takdir kekal manusia



        Marilah kita merenung kembali kepada tubuh badan kita yang kerdil dan tidak ada sesuatu kekuatan yang boleh kita banggakan, walaupun bentuk rupa kita dianggap cantik dan segak. Oleh itu, kita mesti ingat bahawa tubuh badan kita itu adalah hak milik Allah. Ia boleh mengambil roh atau nyawa manusia pada bila-bila masa sama ada di dalam keadaan kita lupa atau ingat. 

     Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia yang fana dan satu proses perpindahan roh manusia ke alam barzakh dan alam baqa. Mati ialah satu proses terpisahnya roh daripada jasad dan merupakan perpisahan alam yang realiti ke alam yang mujarrad. Kematian akan dirasai oleh setiap jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Setiap makhluk pasti akan mati. Ia dinamakan ajal mubram. Masa kematian boleh berubah daripada satu masa ke masa yang lain. Ia dinamakan ajal mu’allaq. Mati adalah penamatan hidup di dunia; dunia yang cukup dikejari dan disayangi oleh manusia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ia tidak akan dapat ditangguh atau dipercepatkan. Ia tetap akan berlaku.

     Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan  juga pada yang masih hidup. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai penamatan hidup yang baik (husn al-khatimah) atau penamatan hidup yang penuh keburukan (su’ al-khatimah). Bagi yang hidup, kematian orang lain merupakan satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan untuk mempertingkatkan amalan, bermuhasabah diri dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menemui Allah.

     Manusia diciptakan demi untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan manusia akan dikembalikan kepada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja degan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al-Mu’minun: Ayat 115)

     Adalah menjadi ketetapan bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui kematian untuk menerima balasan baik ataupun buruk daripada Allah s.w.t..  Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu. Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)”. (Surah Al-‘Ankabut : Ayat 56-57)

     Allah merahsiakan kematian seseorang itu tanpa memberitahu kepadanya, ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya dan seluruh keluarganya serta sahabat-sahabat karibnya. Roh (nyawa) yang ada dalam tubuh kita, pasti akan berpisah dengan badan. Itulah yang disebut maut yang pasti akan mendekati dan menemui sesiapa sahaja.

     Sebelum maut menemui kita perlulah kita bersedia sebagaimana kata sesetengah ulama, "Sesiapa yang membanyakkan menyebut mati akan dimuliakan dengan tiga perkara:

1. Segera ia mengerjakan taubat.
2. Memudah hatinya dengan sesuatu yang ada padanya.
3. Rajin ia mengerjakan ibadat 


Kemudian sesiapa yang lupa akan mati disiksa dengan tiga perkara:
1. Lupa akan taubat.
2. Tiada redha dengan sesuatu yang ada padanya.
3. Malas mengerjakan ibadat


     Menyebut atau mengingati mati setiap masa bukan bererti menghalang kemajuan atau melemahkan semangat berjihad, malahan menambahkan kekuatan kepada Allah s.w.t.


No comments:

Post a Comment